WHO'S FOLLOWING THIS BLOG?
AMAN PALESTINE
NOTHING LASTS!
Saturday, 24 August 2013
Been Spending Most Their Lives Living In A Gangsta's Paradise
Sebagai manusia biasa, banyak yang saya terpaksa tinggalkan sebagai seorang guru. Mula-mula terfikir mampukah saya menjadi seorang guru? Saya bukan seorang yang penyabar dengan soalan yang sama ditanya 10 kali.. bukan juga seorang yang mudah menerima dan tangled dengan insan sekeliling. Tapi itulah yang harus diketepikan bila takdir menentukan saya menjadi seorang guru. Kalau anda ingin menikmati pekerjaan itu maka belajarlah untuk jauh cinta dengan kerjaya itu. Tidak semua orang bernasib baik untuk bekerja dengan kerjaya pilihan sendiri malahan ada yang tidak mampu bekerja atau dapat kerja pun. Setiap manusia menghadapi pelbagai nasib sendiri. Kita mampu berusaha supaya sedikit pahit yang diberi Tuhan sebagai peringatan untuk kita mengingatiNya.
Dari 29 orang murid saya, hanya 4 orang sahaja yang stabil dan konsisten untuk mendapat markah lulus bagi Pemahaman dan Penulisan. 5 orang lagi ala peserta AF yang kadang ok kadang tak :p. Hanya 9 orang daripada 29 orang murid. Selebihnya? Ada yang berterus-terang nak berhenti sekolah pun ada. Setiap seorang daripada mereka terdiri daripada pelbagai masalah sosial keluarga. Itulah yang tajuk saya mengaitkan dengan lagu Coolio ' Gangsta's Paradise'. Penceraian, kecurangan, yatim piatu dan desakan ekonomi yang memaksa mereka untuk bekerja pada waktu malam. Ada juga bapa yang bekerja berkait dengan kerjaya yang ke arah gangsterisme. Kesemua murid UPSR saya berbangsa Cina. Terletak di sebuah lokasi yang majoritinya Cina, komunikasi adalah penghalang terbesar untuk saya mendalami masalah mereka. Penolakan dan mendiamkan diri juga menjadi pilihan mereka kerana saya cuma mampu bertutur Bahasa Melayu dan sedikit Bahasa Inggeris. Bahasa Arab dua tiga patah dan Bahasa Mandarin setengah patah..
Apabila saya memberi kelas tambahan percuma kepada 9 orang murid potensi lulus yang asalnya 2 jam tetapi dipendekkan satu jam atas pelbagai alasan mereka dan masih ada seorang murid yang tak mahu menghadiri kelas tambahan atas alasan malas memang sangat mengecewakan saya. Rasa air mata nak menitik pun ada. Setelah berbincang dengan guru bimbingan dan kaunseling maka hadirlah murid perempuan saya ini dengan langkah longlainya. Seolah-olahnya dimasukkan ke dalam lokap.
Walaupun rasa kecewa.. 'frust giler' tapi senyuman tetap diberikan dan menepuk-nepuk bahu mereka setiap kali ada yang betul dan ada yang salah. Ada juga perasaan berbunga apabila melihat seorang anak murid lelaki saya tekun menyiapkan karangan. Dia merupakan bekas murid Protim, digelar mastermind gangster sekolah dan pernah membaling bebola air dari tingkat 3 ke arah salah seorang guru. Namun bila diasingkan dengan ahli kumpulannya maka dia dapat menulis karangan yang mampu mendapat 16 per 30 untuk Bahagian B. Sangat sejuk hati saya apabila dia mengucapkan terima kasih dengan lembut dan senyuman ikhlas apabila saya membetulkan ejaannya semasa dia sedang menulis karangan. Sampaikan pembetulan pun dia rela menulis semula dengan tulisan yang langsung tidak cakar ayam. ( Berbanding di dalam kelas biasa yang turut ada 'clique')
Saya rasa kerjaya sebagai guru mendidik saya untuk tidak memandang insan dengan prejudis latar belakang, fizikal, agama dan bangsa. Mungkin ada yang tidak bersetuju kerana ada yang pernah berjumpa guru yang rasis. Alhamdulillah saya bersyukur kerana tiada sezarah pun pandangan itu terhadap anak murid saya, kalau bias pun yang nakal dan yang malas memang kena rotan dan yang sebaliknya tak kena rotan.. yalah kan?
Semasa praktikum dulu kena ganti kelas terakhir memang satu penyeksaan bagi saya. Ada yang melompat atas meja dan ada juga yang bertumbuk di belakang. Itu juga yang saya hadapi semasa tahun pertama bekerja. Sikit atau tak banyak, sekarang saya sudah mampu mengawal kelas 'hebat' ini. Cemuhan merka tidak disimpan di hati. Renungan dan suara yang keras menjadi taruhan walaupun anak murid saya lebih tinggi dan besar daripada saya. Respons negatif yang saya pernah dapat ' Saya tak suka BM', ' Saya tak suka cikgu' dan renungan yang cuba membalas balik apabila dimarahi tetapi tertunduk apabila saya merenung balik. Saya belum diuji lagi dengan diludah atau dipukul seperti sesetengah guru. Pendekatan tegas tapi sayang juga penting, biasanya saya akan menepuk-nepuk bahu mereka kembali selepas merotan dan saya tanyakan siapa yang salah. Berjumpa di luar waktu pengajaran dan luar sekolah, mereka ini masih tidak lekang dengan ucapan ' Selamat Pagi Cikgu' atau ' Selamat Petang Cikgu'. Namun perjalanan masih panjang. Kalau hendak sentiasa dipuji dan diberi hadiah buatlah surat rasmi dengan sokongan Perdana Menteri untuk hanya mengajar kelas elit sepanjang hayat.
Apabila mereka berubah menjadi lebih baik dari segi akademik atau sahsiah walaupun sedikit, itulah kepuasan sebenar seorang guru. Setiap proses mendidik mereka juga memberi motivasi kepada diri saya untuk mengubah diri ke peringkat yang lebih atas walaupun merangkak-rangkak..
Sunday, 11 August 2013
Salam Aidilfitri
Sekali lagi, di mana-mana entri pun saya bukanlah mukminah yang tidak lepas dosa. Dosanya seluas lautan pun belum bisa tercuci jika taubat tidak diterima Allah Yang Maha Esa. Ingatan untuk kita semua termasuk saya sendiri, hamba Allah yang memang tiada maksumnya.
Sejuta kemaafan saya pohonkan dengan susunan sepuluh jari jika ada post saya yang mengguris hati sama ada sedar atau tidak.
Salam Aidilfitri kepada semua.. kita diminta untuk bergembira di hari raya.. senyumlah seikhlas hati :).. dan Ramadhan pasti dirindui.. kerana apakah ada Ramadhan untuk kita lagi pada tahun hadapan?...
Salam Aidilfitri dari kami sekeluarga.. tiada anugerah yang terindah di dunia ini daripada sebuah keluarga.. |
Sunday, 4 August 2013
Osman Ali Tanya Siapa Sesuai Jadi Salina?
Salam alaik dan salam Ramadhan.
Post kali ini saya nak sentuh mengenai Salina karya Tan Sri A. Samad Said. Saya pernah menyentuh soal pemeran watak Salina dalam entri beberapa tahun lepas di: http://bidasari.blogspot.com/2010/12/naskhah-salina-bakal-dipentaskan-di-ib.html
Namun ketika itu soal teater Salina.Namun apakah saya ketinggalan kerana saya tidak pasti teater Salina versi 2010 sudah dipentaskan atau belum?
Ketika soalan Osman Ali ini ditanya di forum CARI, ramai yang memberi nama Umie Aida. Begitu juga nama Tiz Zaqyah, Nasha Aziz, Maya Karin, Nabila Huda, Fasha Sandha hinggakan Nad Zainal dan Emma Maembong pun. Mungkin nama Tiz Zaqyah, Nad Zainal atau Emma Maembong ditimbulkan oleh mereka yang tidak membaca novel tersebut. Salina seorang pelacur dan perempuan joget yang terpaksa menjalani hidup sebegitu, Salina penuh penderitaan. Abdul Fakar diterima kerana iras wajah arwah tunangnya.. itulah naifnya Salina. Salina mempunyai seorang adik angkat berusia belasan tahun, Hilmy.
Watak Salina kacau bilau adakalanya mengenangkan saya pada Nasha Aziz yang selalu hebat dengan mainan jiwa gilanya. Namun usia Nasha sekarang sudah tidak sesuai. Anda pernah tengok bagaimana karakter Sofia Jane semasa dipukul di dalam Sayang Salmah? Muka perit dan sakit jiwa itu yang saya nampak bila membayangkan Abdul Fakar memukul Salina. Umie Aida memang pilihan tepat jika masih mempunyai kejujuran wajah Umie Aida dalam Embun atau Surah Terakhir.. saya salute Umie Aida, dia mungkin pilihan yang tepat juga. Nabila Huda dan Fasha Sandha memang boleh dipertimbangkan. Antara keduanya mungkin Nabila Huda lebih saya gemari dari segi lakonan. Bagaimana Sheera Aiyob yang memainkan peranan protaganis dan antoganis dalam Duri? Dia juga antara pilihan yang terbaik tapi dilupakan. (Lupakan Sheera Aiyob dalam Karak).
Hilmy yang saya pilih 10 tahun yang lalu ialah Zulhuzaimy dalam Intan Mahsuri tapi yang ada sekarang hanya sesuai dibawa oleh Syafie Naswip. Sunarto yang dahulunya saya pilih Rosyam Nor pula sekarang ini lebih sesuai untuk Beto Kusyairy. Nahidah yang disukai Hilmy secara diam-diam dahulunya sesuai dibawa Liyana Jasmay bagi saya namun jika difikir faktor usia, kita perlu mencari bakat muda (bukan wajah komersial seperti Elfira Loy.. tapi mungkin Erin Malek yang agak bagus dalam drama Satu Malam Perawan). Abdul Fakar baran dan besar badannya.. dahulu saya memilih Sidi Oraza, ada nama Sharnaaz Ahmad yang disebut di dalam forum tersebut mungkin itu antara pilihan yang baik buat masa ini. Bront Palarae juga sesuai sebagai Abdul Fakar. Watak Zarina ibu Nahidah dan ibu angkat Sunarto yang membencikan juga pasti cemerlang di tangan Normah Damanhuri.
Pilihan saya? Antara Nabila Huda dan Sheera Aiyob. Walaupun kedua mereka agak underdog dalam komersial (Sheera terutamanya) tetapi seperti permata yang mampu digilap barangkali.
Namun jika Salina diarahkan oleh Osman Ali. Kurangkan grafik seksual walaupun Salina kisah dunia pelacuran. Filem India, Talaash tetap cemerlang walaupun Kareena Kapoor memegang watak pelacur di mana pelacur itu digambarkan secara abstrak dan metafora bukan secara maujudkan adegan ranjang seperti dalam Ombak Rindu.
Jika benar Salina akan difilemkan, jangan dibikin sembrono.