WHO'S FOLLOWING THIS BLOG?

AMAN PALESTINE

AMAN PALESTINE

NOTHING LASTS!

NOTHING LASTS!

Monday 13 December 2010

Naskhah Salina Bakal Dipentaskan Di IB

Istana Budaya mencari Salina
Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH
Kredit:Pancaindera,Utusan Malaysia 12/12/2010

NOVEL Salina karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pernah dipentaskan pertama kali pada 1984. Ketika itu, dua watak utamanya iaitu Salina dipegang oleh Fauziah Nawi manakala Jalil Hamid menerajui watak Abdul Fakar.

Tanpa disangka, Salina yang diarah Datuk Johan Jaaffar waktu itu menjadi besar dalam dunia teater apabila mendapat sambutan hebat di kalangan peminat teater. Pementasan itu dianjurkan oleh Badan Budaya DBP.

Selepas 26 tahun berlalu, Istana Budaya (IB) mengesahkan akan mementaskan sekali lagi teater itu pada Jun tahun depan selama 10 hari.

Ketika ura-ura teater itu dalam perancangan pementasan semula, tidak dinafikan ramai pihak yang berminat untuk terlibat dalam Salina.

Lantaran itu, teka-teki mula timbul apabila ramai ingin tahu sama ada pementasan Salina akan diterbitkan oleh Istana Budaya atau syarikat produksi teater? Siapa pula pengarahnya? Paling dinanti, siapakah terpilih memegang watak Salina?

Bagi karyawan teater, mendapat peluang untuk menjadi sebahagian daripada teater berkenaan ibarat pungguk yang merindui bulan. Ini kerana novel Salina merupakan antara naskhah hebat Pak Samad yang telah melahirkan banyak sarjana membuat kajian tesis mengenainya.
Justeru, baik pengarah mahu pun barisan pelakon, ramai yang sudah memasang angan-angan untuk dipilih menjayakan teater itu.

Untuk mengarah sahaja, khabarnya ramai yang melobi. Bermacam nama yang disebut-sebut. Tidak ketinggalan nama pengarah teater muda, Norzizi Zulkifli. Namun sekuat mana pun kempen melobi, rezeki tetap di tangan Tuhan. Pengarah Salina khabarnya secara tidak rasmi sudah menjadi milik pengarah dan pelakon tersohor, Mior Hashim Manap.
Bahkan, pemilihan Mior Hashim juga dikatakan telah mendapat ‘restu’ daripada Johan yang menghasilkan naskhah adaptasi dari novel Salina.

Apa yang menarik, pemilihan Mior Hashim itu dilihat tepat kerana beliau pernah terlibat dengan pementasan Salina pertama. Mior Hashim ketika itu memegang watak Hilmy manakala isterinya, Izzaidah Khairan sebagai Nahidah.

Ketika dihubungi, pengarah filem Kemarau Cinta itu enggan mengesahkan tawaran sebagai pengarah Salina sebaliknya selesa mendiam diri seribu bahasa.

“Lebih baik tanya pihak IB. Saya belum sign kontrak apa-apa lagi,” jawabnya berlapik dalam nada ketawa.

Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, Pancaindera menghubungi Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani yang mesra dengan panggilan Abang Joe.

Beliau mengakui pihaknya telah memuktamadkan calon pengarah Salina dan mencadangkan Mior Hashim sebagai pilihan utama.

“Namun sehingga kini, senarai pelakon Salina belum ada lagi dan pada masa sama pihak IB masih menunggu kebenaran Pak Samad untuk mementaskan Salina buat kali kedua.

“Kalau secara lisan, kami sudah mendapat kebenaran daripada Pak Samad sejak dua tahun lalu. Tetapi yang penting, biarlah wujud persetujuan antara dua pihak yang dibuat secara bertulis,” katanya yang pada mulanya enggan mendedah tenaga kerja di belakang Salina.

Vanida, Umie jadi Salina?

Selepas pengarah Salina diketahui, spekulasi kini pasti beralih kepada barisan pelakon utama yang akan dipilih nanti. Watak penting iaitu Salina sebagai pelacur tentunya menjadi idaman ramai pelakon wanita di negara. Berdasarkan senarai awal, khabarnya Tiara Jacquelina menjadi calon utama berdasarkan kredibiliti di pentas teater.

Namun difahamkan Tiara terpaksa menolak tawaran keemasan itu apabila dia perlu menumpukan perhatian kepada syarikat produksinya yang akan sibuk menerbitkan teater muzikal ketiga iaitu Nora Zain pada tahun depan.

Penolakan Tiara itu dijangka memberi peluang kepada aktres popular, Sofia Jane untuk beraksi dalam Salina. Jika Sofia menjadi pilihan, ibu kepada kepada tiga orang anak itu dilihat berdepan tugas besar untuk menjayakan watak Salina.

Sofia yang mula dikenali menerusi filem Mira Edora perlu lari daripada watak Zaleha sebagai isteri yang menjadi jalang dalam filem Perempuan, Isteri dan ... pada 1993.
Pelakon kacukan British dan Melayu itu juga mungkin berdepan kritikan ramai apabila raut wajahnya yang tidak memiliki wanita Melayu.
Ini kerana Salina digambarkan sebagai seorang wanita yang penuh dengan wajah kemelayuan, menggoda, berambut panjang dan berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun.

Dan jika faktor wajah wanita kemelayuan menjadi keutamaan, Mior Hashim mungkin mempunyai dua pilihan lain iaitu Vanida Imran dan Umie Aida.
Selain menepati ciri perwatakan Salina, standard lakonan Vanida dan Umie berada dalam kelas tersendiri apabila masing-masing pernah dinobatkan sebagai pelakon wanita terbaik di negara.
Mohamed Juhari ketika diajukan siapa peneraju Salina itu, dia memberitahu ramai pelakon wanita yang mengidamkan watak Salina itu sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya, Tiara pernah berhasrat untuk menerbitkan filem Salina manakala Erma Fatima juga pernah kepingin watak yang penuh mencabar itu.

“Pementasan Salina kali kedua ini merupakan langkah IB untuk memenuhi hasrat ramai pihak yang tidak kesampaian mementaskan Salina sebelum ini. Mengenai ura-ura watak Salina akan dipegang oleh Sofia, tawaran rasmi belum dibuat lagi dan kita juga perlu mendapat kebenaran daripada suaminya.

“Namun kita tidak menafikan terdapat calon lain jika berdasarkan perwatakan Salina memiliki wajah kemelayuan dan berambut panjang, Vanida Imran dan Umie Aida memenuhi ciri-ciri itu,” katanya sambil membayangkan pengumuman rasmi barisan pelakon Salina akan dibuat pada Februari depan.

Mohamed Juhari menambah, watak Salina bukan satu-satunya watak penting yang perlu diberi perhatian sebaliknya watak di sekeliling Salina turut menjadi tonggak kekuatan teater itu nanti.
Katanya, watak-watak seperti Abdul Fakar, Hilmy, Nahidah dan Sunarto tidak boleh dipinggirkan kerana kehadiran mereka membuatkan watak Salina menjadi kuat.

Sementara itu, Pancaindera difahamkan watak Abdul Fakar bakal menjadi milik dua aktor popular iaitu Hans Isaac atau pun Aaron Aziz.

Cuma keraguan yang timbul di sini apabila Abdul Fakar memiliki kriteria seorang lelaki yang kelihatan jantan di sebalik wajah yang tidak kacak.

“Kalau Hans atau Aaron yang terpilih, terpaksalah kita menjadikan wajah mereka nampak buruk dan ganas,” katanya sekadar memberi pandangan.

Pada masa sama, watak Sunarto khabarnya mungkin dipegang oleh Fizz Fairuz manakala watak adik angkat Salina, Hilmy yang berusia belasan tahun akan dipikul oleh Mohd. Syafie Naswip.

“IB akan memulakan perbincangan dengan calon barisan Salina dalam masa terdekat ini dan saya harap semua pihak bersabar untuk mengetahui perkembangan selanjutnya,” katanya yang enggan mengesahkan barisan calon pelakon Salina.

PENDAPAT SAYA:
Saya membaca novel Salina lewat usia 19 tahun.Mungkin agak terlewat membaca naskhah itu.Tapi Salina merupakan karya agung Tan Sri A. Samad Said yang wajib dibaca.Kisah suka duka perempuan joget.Salina menerima Abdul Fakar yang ganas kerana lelaki itu mirip bekas tunangnya.Dalam masa yang sama Salina juga kakak angkat kepada Hilmy.Diselitkan juga dengan kisah Hilmy yang baru belajar menyukai perempuan dengan anak dara jirannya,Nahidah dan Sunarto lelaki Indonesia yang juga anak angkat keluarga Ab Mutalib.

Semasa saya membaca novel ini saya baru mengenali nama Zulhuzaimy yang bergandingan mantap bergandingan dengan Umie Aida dalam Intan Mahsuri.Saya memang membayangkan wajah Zulhuzaimy ketika membaca novel ini.Zulhuzaimy ketika itu memang tampak remaja dan kurus-kurus orangnya.Wajahnya membayangkan Hilmy yang amat menyayangi Salina.

Salina pula ketika itu saya membayangkan aktres Nasha Aziz.Abdul Fakar pula Sidi Oraza.Watak Sunarto pula Rosyam Nor.Cuma ketika itu saya memang tidak dapat membayangkan siapa Nahidah.Tapi jika sekarang,mungkin Liyana Jasmay sesuai membawa watak itu.

Soal Salina saya setuju dengan pemilihan Sofea Jane walaupun dia berwajah keInggerisan.Walaupun hanya muncul berapa minit dalam Sayang Salmah,emosi Sofea Jane amat bertepatan untuk membawa watak Salina yang lemah lembut tetapi tertekan dengan karenah Abdul Fakar.

Saya masih membayangkan Sidi Oraza untuk Abdul Fakar kerana gambaran fizikal Abdul Fakar yang besar-besar orangnya.Kalau diberi pilihan antara Hans atau Aaron,mengambil kira bencinya saya pada watak Hans dalam drama siri Sephia mungkin saya memilih Hans..tapi masih hati saya membayangkan Abdul Fakar itu Sidi Oraza.Saya tidak mempunyai masalah dengan Syafie Naswip untuk watak Hilmy atau Fizz Fairuzz untuk Sunarto.

Tak sabar menantikan naskhah Salina dipentaskan kerana ketika pementasan kali pertama saya baru berusia 5 tahun.

No comments:

AQSA SYARIF

AQSA SYARIF

TUAN TANAH

TUAN TANAH

MY BELOVED NIECES :D

MY BELOVED NIECES :D