WHO'S FOLLOWING THIS BLOG?

AMAN PALESTINE

AMAN PALESTINE

NOTHING LASTS!

NOTHING LASTS!

Thursday 24 January 2013

Kitalah Umat Muhammad S.A.W

Salam Maulidur Rasul.. 12 Rabiul Awal Tahun Gajah kelahiran junjungan besar Muhammad S.A.W. Selawat ke atas nabi dan keluarganya. :)

Entri saya sempena Maulud Nabi tahun ini bukanlah bererti saya cuba berlagak bijak agama. Demi Allah ilmu saya cuma setitis dakwat atau mungkin lebih rendah dari sekecil zarah. Namun inginlah saya ajak rakan-rakan Muslim saya rindu akan baginda, kenang sunnah2 baginda dan selawat berbanyak-banyaknya ke atas baginda pada hari ini.

Umat Muhammad pada masa ini ialah umat yang penuh dengan ujian dan berat dengan dugaan. Lemah juga akidah dan akhlak. Sedangkan umat terdahulu yang dihadirkan dengan Adam A.S sehingga Muhammad S.A.W pun banyak kelemahannya apalagi kita yang berdiri tanpa rasul dan nabi. Apa yang tinggal? Al-Quran, hadis dan para ulamak supaya kita masih teguh kepada agama fitrah.

Saya tertarik dengan kewujudan sekolah tahfiz aliran sains yang baru ini didokumentasikan di dalam akhbar Kosmo. Walaupun bayaran yang dikenakan tinggi namun saya tabik ibu bapa yang berkemampuan ini dan mempunyai kesedaran untuk membentuk pemimpin berwadah ulamak. Sains dengan Islam sangat sinonim sejak zaman Ibnu Sinna lagi. Walaupun kitab-kitab Ibnu Sinna dihapuskan dan barat menggantikan dengan Avecenna, kita maklum bahawa sains dalam Islam telah lama bertapak.

Tapi itu dulu, sebelum hati kita umat Muhammad akhir zaman ini dinafsu-nafsikan dengan hiburan hendonisme sehingga melemahkan urat saraf kita.

Umat Islam kini hanya tingga Islam pada kad pengenalannya. Kita gagal memberi contoh terbaik pada penganut agama lain seperti mana Rasulullah S.A.W. Jika kita dipropagandakan sebagai pengganas dan barbarian pun sepatutnya kita dapat menangkis bukan mengiyakan pendapat itu.

Kaum Taif mencederakan baginda sehingga berdarah dan luka-luka. Sehingga baginda memohon petunjuk Allah yang Maha Esa. Allah S.W.T malahan mengirimkan Jibrail untuk memusnahkan kaum itu dengan gunung-ganang yang menghimpit mereka. Namun apa permintaan baginda? Baginda meminta jangan diperlakukan sedemikian, dengan izin Allah S.W.T memohon agar hati mereka menerima agama fitrah, moga keturunan mereka menerima agama fitrah.

Beza sangat kan kita dengan akhlak baginda? Ya, kita akan mengulang ucapan, “ Saya bukan nabi,”. Namun setiap kali kita ditindas, kita mohon Allah S.W.T memberi petunjuk dan hidayah. Perang dan pembunuhan adalah perkara terakhir. Lebih baik cuba berbuat baik tetapi dijauhi manusia daripada berbuat jahat tapi disukai manusia. Redha Allah segalanya. Jika tercapai redha Ilahi akan wujudlah kasih-sayang manusia.

Menyebut Islam hanya pada nama dan masjid. Lapan tahun yang lepas, zaman baru lepas belajar maktab perguruan, saya dan seorang kawan singgah di sebuah masjid berhampiran pekan Jitra, Kedah. Kami menumpang untuk menunaikan solat Zohor. Ketika masuk ke dalam masjid, kipas  dan lampu dibuka kesemuanya di bahagian muslimah. Baru sahaja kami masuk, seorang AJK masjid terus mengherdik kami kerana andaiannya kami yang membuka semua kipas dan lampu. Rakan saya terus melenting kerana kami diherdik tanpa sebarang salah. Ketika kami mula untuk bersolat, semua lampu dan kipas ditutup menjadikan keadaan panas dan gelap. Kedengaran suara yang menyindir, “padan muka.”. Selesai solat, AJK yang mengherdik kami itu duduk berbual dengan selamba bersama rakan-rakannya. Usia remaja ketika itu memang membuat hati bikin panas, namun difikirkan balik pakcik itu diberi ujian yang besar oleh Allah S.W.T. Moga dibukakan hatinya untuk menjadi Islam seikhlasnya. Segelintir golongan sebegini yang menyebabkan umat Islam yang muda jarang bertandang ke masjid. Di pihak kami juga salah kerana membalas herdikannya dengan lentingan.

Umat Islam akhir zaman ini lemah.. kalau tidak membuat dosa, kita lebih banyak membuat perkara yang tidak berfaedah. Kita lebih banyak berpecah kerana egois berbanding bersatu kerana Allah S.W.T. Allah yang Maha Satu, yang tidak beranak atau diperanakkan. Kerana itu Allah itu Tuhan sekelian alam.
Saya pun sama, imannya kadangkala setinggi gunung dan kadangkala hancur bagai hampas. Dosanya sebesar lautan. Kadangkala ingin berada jauh daripada kehidupan dunia yang penuh godaan dan cabaran. Namun hidup juga bukan sampai meninggalkan dunia. Berusaha manfaatkan dunia sebelum kembali ke alam abadi. Masa yang disia-siakan merupakan penyesalan yang hanya mampu ditebus dengan memohon keampunan Ilahi.

Mohon doa jangan dijadikan di antara golongan yang sesat, menyesatkan, menzalimi, dizalimi dan disematkan kalimah 'lailahailaAllah' sampai ke hujung nyawa. Sudah tertulis di dalam Al-Quran bahawa umat manusia akan disesatkan Dajjal, diturunkan Imam Mahadi untuk membimbing kita. Sehinggalah turunnya Nabi Isa A.S dari langit. Mohon doa Allah S.W.T jangan kita dijadikan golongan yang disesatkan. Nauzubillahiminzalik.

Akhirul kalam, saya bukannya ustazah, jauh semanggang dari api. Dosa tidak tertanggung dan malunya amat besar setiap kali sujud di sejadah di hadapan Maha Pencipta.. :(..saya cuma hamba Allah yang sangat berusaha menjadi lebih baik. Sekadar berkongsi perkara manfaat. Jika saya bisa berkongsi hal gadgets dan hal lain dengan rasa teruja, izinkan saya berkongsi hal manfaat dengan rasa rendah diri sebagai peringatan untuk saya dan anda.

Sallallahu ala Muhammad.. sallallahu alaihi wasallam..

No comments:

AQSA SYARIF

AQSA SYARIF

TUAN TANAH

TUAN TANAH

MY BELOVED NIECES :D

MY BELOVED NIECES :D