Salam alaik dan salam sejahtera.Sudah lama saya tidak menjenguk laman muka buku atau blog.Jarang berbanding dulu.Ada rasa yang menjeruk jiwa membaca setiap baris ayat yang membuat wajah saya merah padam.Kenapa?
Senario alam maya masa kini yang tidak mendedahkan identiti sebenar di sebalik nama samaran mengizinkan ramai khalayak muda mencaci mereka yang lebih tua secara terbuka.Apatah lagi menjelang Pilihanraya Umum ini.Tak perlu membuka laman web atau laman muka buku yang berbaur politik,buka lah mana-mana blog atau laman yang tidak berkaitan pun caci maki itu berterbangan.
Sama ada penyokong parti kerajaan atau pembangkang sama sahaja.Bila dilihat profil mukabuku mereka,ada yang cuma berusia 16 tahun.Mereka dengan sesenang hati mencerca Perdana Menteri Malaysia mahupun Mursyidul Am PAS.Sudah hilang rasa malu dan hormat.
Contoh melalui tauladan?
Barangkali senario di Dewan Rakyat atau Dewan Parlimen yang menyaksikan Yang Berhormat kita saling mencerca dan menuding jari juga menjadi contoh 'terbaik' buat anak-anak muda ini untuk mengamalkan sikap negatif ini.Wallahualam.
Saya sering menerapkan nilai murni kepada murid di dalam pengajaran dan pembelajaran.Apatah lagi soalan penulisan Bahagian C Bahasa Malaysia juga berkaitan dengan nilai murni.Seringkali ditekankan nilai-nilai murni seperti menghormati,kasih sayang,semangat nasionalisme ,rasional dan sebagainya.Namun apakah perlu sidang Parlimen di dalam berita ditakrifkan sebagai tontonan 18SG?Ada anak murid SJKC saya yang bertanya kenapa orang dewasa tidak mengamalkan nilai murni sedangkan mereka pemimpin?
Saya menjawab,memandangkan kamu sudah tahu betapa pentingnya nilai murni dalam masyarakat maka cikgu mengharapkan kamu berjaya menjadi orang dewasa yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni ini.Saya biarkan saja mereka tertanya-tanya tentang sikap-sikap mereka yang tertentu itu.Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya.
Pertanyaan itu juga menyuntik satu semangat buat saya supaya menjadi seorang guru yang lebih baik.Sebagai manusia biasa,saya juga mempunyai sikap-sikap negatif yang tidak wajar dicontohi anak-anak murid saya.Saya bertekad untuk melebihkan sikap yang positif supaya amalan negatif itu dapat dikikiskan sedikit demi sedikit.Dengan izin Allah.
Sama ada sesiapa pun anda,sikap anda mewakili sikap anak muda kita pada masa hadapan.Jika anda seorang penoreh getah,jadilah penoreh getah yang rajin.Jika anda seorang surirumah,jadilah seorang surirumah yang ikhlas menguruskan rumahtangga.Jika anda seorang penyanyi,jadikan kerjaya anda untuk peminat anda melakukan kebaikan.Jika anda seorang pemimpin,biarlah anda dijadikan contoh teladan untuk rakyat,bukan sekadar meminta rakyat melakukan tetapi anda sendiri tidak mengamalkan.Jika anda seorang rakyat,jadilah rakyat yang bertanggungjawab,yang mampu membezakan negatif dan positif tanpa prejudis mana-mana pihak.
Pandang mata anak-anak kecil kita.Mereka cuma sehelai kain putih.Kita yang bertanggungjawab mencorakkan siapa mereka pada masa hadapan.
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.(Riwayat Muslim)
P.S:Manusia tidak sempurna yang cuba menjadi lebih baik walaupun seringkali terbabas.