WHO'S FOLLOWING THIS BLOG?

AMAN PALESTINE

AMAN PALESTINE

NOTHING LASTS!

NOTHING LASTS!

Wednesday, 12 January 2011

Anak Kecil Main Api

Assalammualaikum dan salam sejahtera,

Duduk bersendirian,jauh daripada keluarga dan menjadi komuniti Melayu yang kecil di kawasan ini membuatkan saya berfikir sejenak.Menjadi minoriti bererti sedikit tak banyak akan menghadapi tekanan daripada majoriti.Lantas mengenangkan Melayu yang gah apabila menjadi majoriti.Melayu yang senang lenang.Adakalanya mengejar urbanisasi sehingga terlupa tamadun manusia bangsa Melayu itu sendiri yang berkait dengan Islam.

Melayu terkenal dengan adab sopannya.Menunduk hormat ketika berjalan di hadapan orang tua.Arakian sibuk bagaimanapun tetamu datang disambut dengan senyuman dan jemput sila makan dan minum.Meminang anak dara lagikan berpantun.Hendak bergaduh pun lagikan berpantun.Selat Melaka dahulu menyaksikan Melayu merantau dan berdagang.Marah pun berkias-kias.Al-kisahnya bak peribahasa ‘pukul anak,sindir menantu’.

Berbanding bangsa lain yang mempunyai multi agama.Melayu satu-satunya bangsa yang teguh dengan Islam.Taboo jika didengar Melayu beragama Kristian atau Yahudi.Arab Majusi pernah didengar,Melayu Majusi jelik bunyinya.

Mungkin kerana sinonimnya Melayu dan Islam maka adab-adab seorang muslim amat kuat dalam diri Melayu.Dibaling najis,Rasulullah SAW tidak membalas.Si kucing yang tidur di atas kain serbannya,tidak digerakkan malah dipotong kain serban itu.Cucu-cucu baginda Hassan dan Hussin menunggangi baginda ketika dalam kedudukan sujud semasa solat,baginda sabar menunggu sehingga mereka turun.Rasulullah terkenal dalam dunia perniagaan sebagai seorang jujur dan amanah.Hendak berperang dengan musuh Islam lagikan dibuat perjanjian dan persetujuan.Bukannya menyerang membuta-tuli tak kira anak-anak,orang tua mahupun wanita.

Sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW menjadi pegangan Melayu.Kerana Melayu itu tiangnya agama Islam maka kukuh Melayu sebagai bangsa yang berdaulat,tegas tetapi masih berbudi bahasa.

Namun kini sukarnya untuk mendidik manusia bernama Melayu.Sedangkan hal remeh seperti pemenang Anugerah Juara Lagu 25 pun Melayu sanggup menjatuhkan Melayu yang lain.Apa lagi soal politik yang membabitkan Melayu Muslim seperti UMNO dan PAS?Jeliknya Melayu apabila tidak menjadi mangsa banjir pun mengaku jua demi habuan 5 keping not RM100.Susahnya hendak bernafas dengan aman apabila Melayu terlalu mengagungkan hendonisme,korupsi,birokrasi dan materialistik.

“Emak,kalau kita baik,jujur,orang akan pijak kita,”

Salah satu dialog yang diungkapkan dalam Bujang Lapok semasa si ibu tidak mahu menerima wang si anak yang menipu wang Melayu yang lain.

Maka Melayu,berpijaklah di bumi nyata.Kembali pada tiang asas agama kita.Saya seorang perantau di negeri orang.Bekerja dengan bukan Melayu.Cuma ada 6 orang Melayu di dalam komuniti kecil.Itupun adakalanya sukar nak bersatu.Ada juga yang gemar meninggikan diri daripada membantu rakan yang lain.Tekanan kerja daripada majoriti bangsa lain memang ada.Masa baik,memang manis,jika salah setitis dakwat bisa dicanang sebesar najis lembu.Apatah lagi jika salah sebesar tompok dakwat?Namun sebagai motivasi,jadikan sebagai semangat untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh.'Mereka' jika salah masih ada yang membantu atau melindungi.'Kita' jika salah jadi bualan sepanjang waktu.Maka elakkan membuat salah.

Seorang bangsa Cina boleh membuka kedai di perkampungan Melayu.Seorang bangsa Melayu membuka restoran bersebelahan Melayu yang lain pun belum tentu mendapat kerjasama,disantau lagi ada.

Mungkin kerana kita generasi PTPN,UITM dan segala hak keistimewaan Melayu.Kita amat bersyukur dengan keistimewaan itu,tapi jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk kita bersenang-lenang menjatuhkan sesama sendiri,daripada isu sebesar hama sehingga sebesar gajah.Jangan biarkan lagi sejarah pintu gerbang Melaka dibuka untuk Portugis.

Sedih rasanya melihat Melayu menjatuhkan sesama Melayu,menjadi cendekiawan tapi berarah homoseksual atau mati sia-sia di jalanan sebagai mat rempit.Sedangkan semangat berani tak takut mati itu patut digunakan atas landasan yang betul atas nama berjihad kepada Islam.Menjadi khalifah tapi mengambil wang rakyat atau menggunakan nama Islam untuk kepentingan sendiri.Tidak semua,segelintir.Tapi masih sesak nafasnya.

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!
('Melayu' Sasterawan Negara Usman Awang)

Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya dipijak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya retak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya teriak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya haprak
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kelas dua
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya hina
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya sengketa
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya derita
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya kerdil
Melayu mudah lupa
Dulu bangsanya terpencil
Tiada daulat
Tiada maruah
Tiada bebas
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Melayu mudah lupa
Sejarah bangsanya yang lena
Tanah lahirnya yang merekah berdarah
Ingatlah
Ingatlah
Ingatlah
Wahai bangsaku
Jangan mudah lupa lagi
Kerana perjuanganmu belum selesai.
('Melayu Mudah Lupa' Tun Dr Mahathir Mohammad)

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap di arus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Peribumi merintih sendiri.

Kita rumpun bangsa Melayu,
Menganut agama yang suci,
Semangat bangsa berlandaskan Islam,
Teras capai kemerdekaan.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutuplah hati terkunci mati,
Maruah peribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati, bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kita sudah tiada masa,
Bangunlah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayu kan gagah di nusantara.
(Warisan)

Akhir sekali,video ini untuk tontonan bersama.Fikir-fikirlah sejenak.


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Say:"O my Servants who have transgressed against their souls!Despair not of the Mercy of Allah.For Allah forgives all sins:for He is Oft-Forgiving,Most Merciful.
(Surah Az Zumar,ayat 53)

Semoga Allah mengampuni kesalahan kita,bukalah mata wahai bangsa Melayu ku..amin.

2 comments:

Anonymous said...

terbaik..thumbs up...:-))
(pieja)

Bidasari said...

sama2 kita jg bngsa melayu n komuniti Islam pieja :)

AQSA SYARIF

AQSA SYARIF

TUAN TANAH

TUAN TANAH

MY BELOVED NIECES :D

MY BELOVED NIECES :D