Salam Maulidur Rasul.. 12 Rabiul Awal Tahun Gajah kelahiran
junjungan besar Muhammad S.A.W. Selawat ke atas nabi dan keluarganya. :)
Entri saya sempena Maulud Nabi tahun ini bukanlah bererti
saya cuba berlagak bijak agama. Demi Allah ilmu saya cuma setitis dakwat atau
mungkin lebih rendah dari sekecil zarah. Namun inginlah saya ajak rakan-rakan
Muslim saya rindu akan baginda, kenang sunnah2 baginda dan selawat
berbanyak-banyaknya ke atas baginda pada hari ini.
Umat Muhammad pada masa ini ialah umat yang penuh dengan
ujian dan berat dengan dugaan. Lemah juga akidah dan akhlak. Sedangkan umat
terdahulu yang dihadirkan dengan Adam A.S sehingga Muhammad S.A.W pun banyak
kelemahannya apalagi kita yang berdiri tanpa rasul dan nabi. Apa yang tinggal?
Al-Quran, hadis dan para ulamak supaya kita masih teguh kepada agama fitrah.
Saya tertarik dengan kewujudan sekolah tahfiz aliran sains
yang baru ini didokumentasikan di dalam akhbar Kosmo. Walaupun bayaran yang
dikenakan tinggi namun saya tabik ibu bapa yang berkemampuan ini dan mempunyai
kesedaran untuk membentuk pemimpin berwadah ulamak. Sains dengan Islam sangat
sinonim sejak zaman Ibnu Sinna lagi. Walaupun kitab-kitab Ibnu Sinna dihapuskan
dan barat menggantikan dengan Avecenna, kita maklum bahawa sains dalam Islam
telah lama bertapak.
Tapi itu dulu, sebelum hati kita umat Muhammad akhir zaman
ini dinafsu-nafsikan dengan hiburan hendonisme sehingga melemahkan urat saraf
kita.
Umat Islam kini hanya tingga Islam pada kad pengenalannya.
Kita gagal memberi contoh terbaik pada penganut agama lain seperti mana
Rasulullah S.A.W. Jika kita dipropagandakan sebagai pengganas dan barbarian pun
sepatutnya kita dapat menangkis bukan mengiyakan pendapat itu.
Kaum Taif mencederakan baginda sehingga berdarah dan
luka-luka. Sehingga baginda memohon petunjuk Allah yang Maha Esa. Allah S.W.T
malahan mengirimkan Jibrail untuk memusnahkan kaum itu dengan gunung-ganang
yang menghimpit mereka. Namun apa permintaan baginda? Baginda meminta jangan
diperlakukan sedemikian, dengan izin Allah S.W.T memohon agar hati mereka
menerima agama fitrah, moga keturunan mereka menerima agama fitrah.
Beza sangat kan kita dengan akhlak baginda? Ya, kita akan
mengulang ucapan, “ Saya bukan nabi,”. Namun setiap kali kita ditindas, kita
mohon Allah S.W.T memberi petunjuk dan hidayah. Perang dan pembunuhan adalah
perkara terakhir. Lebih baik cuba berbuat baik tetapi dijauhi manusia daripada
berbuat jahat tapi disukai manusia. Redha Allah segalanya. Jika tercapai redha
Ilahi akan wujudlah kasih-sayang manusia.
Menyebut Islam hanya pada nama dan masjid. Lapan tahun yang
lepas, zaman baru lepas belajar maktab perguruan, saya dan seorang kawan
singgah di sebuah masjid berhampiran pekan Jitra, Kedah. Kami menumpang untuk
menunaikan solat Zohor. Ketika masuk ke dalam masjid, kipas dan lampu dibuka kesemuanya di bahagian
muslimah. Baru sahaja kami masuk, seorang AJK masjid terus mengherdik kami
kerana andaiannya kami yang membuka semua kipas dan lampu. Rakan saya terus
melenting kerana kami diherdik tanpa sebarang salah. Ketika kami mula untuk
bersolat, semua lampu dan kipas ditutup menjadikan keadaan panas dan gelap. Kedengaran
suara yang menyindir, “padan muka.”. Selesai solat, AJK yang mengherdik kami
itu duduk berbual dengan selamba bersama rakan-rakannya. Usia remaja ketika itu
memang membuat hati bikin panas, namun difikirkan balik pakcik itu diberi ujian
yang besar oleh Allah S.W.T. Moga dibukakan hatinya untuk menjadi Islam
seikhlasnya. Segelintir golongan sebegini yang menyebabkan umat Islam yang muda
jarang bertandang ke masjid. Di pihak kami juga salah kerana membalas
herdikannya dengan lentingan.
Umat Islam akhir zaman ini lemah.. kalau tidak membuat dosa,
kita lebih banyak membuat perkara yang tidak berfaedah. Kita lebih banyak
berpecah kerana egois berbanding bersatu kerana Allah S.W.T. Allah yang Maha
Satu, yang tidak beranak atau diperanakkan. Kerana itu Allah itu Tuhan sekelian
alam.
Saya pun sama, imannya kadangkala setinggi gunung dan
kadangkala hancur bagai hampas. Dosanya sebesar lautan. Kadangkala ingin berada
jauh daripada kehidupan dunia yang penuh godaan dan cabaran. Namun hidup juga
bukan sampai meninggalkan dunia. Berusaha manfaatkan dunia sebelum kembali ke
alam abadi. Masa yang disia-siakan merupakan penyesalan yang hanya mampu ditebus
dengan memohon keampunan Ilahi.
Mohon doa jangan dijadikan di antara golongan yang sesat, menyesatkan, menzalimi, dizalimi dan disematkan kalimah 'lailahailaAllah' sampai ke hujung nyawa. Sudah tertulis di dalam Al-Quran bahawa umat manusia akan disesatkan Dajjal, diturunkan Imam Mahadi untuk membimbing kita. Sehinggalah turunnya Nabi Isa A.S dari langit. Mohon doa Allah S.W.T jangan kita dijadikan golongan yang disesatkan. Nauzubillahiminzalik.
Akhirul kalam, saya bukannya ustazah, jauh semanggang dari
api. Dosa tidak tertanggung dan malunya amat besar setiap kali sujud di sejadah di hadapan Maha Pencipta.. :(..saya cuma hamba Allah yang sangat berusaha menjadi lebih baik. Sekadar berkongsi
perkara manfaat. Jika saya bisa berkongsi hal gadgets dan hal lain dengan rasa
teruja, izinkan saya berkongsi hal manfaat dengan rasa rendah diri sebagai
peringatan untuk saya dan anda.
Sallallahu ala Muhammad.. sallallahu alaihi wasallam..